PENGURUSAN KEWANGAN ISLAM KEWAJIPAN ATAU PILIHAN ?

PENGURUSAN KEWANGAN ISLAM KEWAJIPAN ATAU PILIHAN ?

Hari ini, dunia telah pun memberikan pengiktirafan kepada sistem kewangan Islam. Pada masa kini, negara kita dilihat sebagai pelabuhan kewangan Islam yang sangat berkembang dan bergerak maju ke hadapan. Dari itu, hal ini merupakan penyelesaian yang paling tepat dan mudah bagi umat Islam khususnya di negara kita untuk menjalankan urusniaga dan menguruskan kewangan secara sistematik serta patuh syariah. Tiada lagi alasan bagi umat Islam untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah pengurusan kewangan mereka. Tiada lagi perkataan ‘darurat’ dan ‘terpaksa’ yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh umat Islam hari ini, kerana semuanya telah tersedia mengikut acuan al-Quran dan as-sunnah.

Dari aspek simpanan wang, pelaburan, takaful sehinggalah kepada pembiayaan modal perniagaan, semuanya mampu disediakan oleh sistem kewangan Islam. Aspek pengurusan kewangan peribadi seperti pelaburan untuk masa hadapan, takaful dan insurans nyawa untuk diri dan keluarga juga mampu ditawarkan, begitu juga untuk tujuan perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kad debit dan kredit telah tersedia untuk kita manfaatkan dan pada masa yang sama beroleh keberkatan kerana membantu perkembangan sistem ini. Di samping aspek pengurusan kewangan untuk kesejahteraan hidup dunia pada masa hadapan, Islam turut memberikan peluang kepada umatnya melaksanakan pelaburan untuk kesejahteraan akhirat seperti zakat, sedekah dan wakaf. Amalan wakaf juga sebahagian daripada sistem ekonomi dan kewangan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penyumbang, malah terus menerus membantu perkembangan ekonomi dan kebaikan sosial. Marilah kita jadikan kehidupan ini bukan sahaja baik untuk diri kita, malah dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW  yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain..”  (HR al-Bukhari & Muslim)

RESOLUSI PENGURUSAN KEWANGAN ISLAM

Bagi mencapai matlamat pengurusan kewangan yang sistematik, perancangan tersusun amat diperlukan.

Di sini merupakan cadangan lima (5) Resolusi Pengurusan Kewangan sebagai panduan bersama di dalam menguruskan kewangan secara sistematik, di antaranya:

Pertama: Menetapkan matlamat di dalam kewangan.

Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan sedia ada. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Sesungguhnya pembaziran itu adalah saudara kepada syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”   (Surah Al-Isra’:27)

KeduaMeningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan

Melalui agensi pengurusan kewangan kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk informasi dapat diperolehi. Malah, agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Di antara agensi yang terlibat seperti Unit Khidmat Nasihat Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia. Adalah satu kebaikan jika institusi perbankan dan kewangan swasta turut sama memainkan peranan dalam menyediakan program dan aktiviti untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap pengurusan kewangan. Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan yang akhirnya pengetahuan itu akan membantu menguruskan kewangan dengan baik.

 Ketiga: Pengurusan hutang dengan bijaksana

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah SWT  juga, akan menghancurkan dirinya.”  (HR al-Bukhari)

Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang-piutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, berazamlah untuk melunaskan segala hutang- piutang kerana ianya bukan sahaja menjadi beban di dunia malah di akhirat.

 Keempat: Menguruskan pelan pelaburan

Adalah tidak patut bagi mereka yang berharta untuk terus menyimpan sahaja tanpa ada usaha untuk mengembangkan harta tersebut. Harta perlu dikembangkan melalui beberapa kaedah yang disediakan seperti pelaburan dan sebagainya. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam Surah Yusuf yang bermaksud:

“Dia (Yusuf) berkata: “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.”

 Kelima: Melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan

Firman Allah SWT di dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud:

         “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-Malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

 Keterlibatan ahli keluarga terdekat adalah perlu untuk memastikan perancangan dan penyusunan kewangan menjadi teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan. Didiklah anak-anak untuk menyimpan daripada lebihan wang saku dan berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja. Pada masa yang sama, bawa kepada pengetahuan keluarga tentang komposisi hutang piutang yang ada, sempurnakan wasiat agar dengannya semua proses pembahagian harta selepas peninggalan kita dapat dijalankan dengan sempurna.

.

Email kan sebarang soalan ke talktozairul@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Pin It on Pinterest